Friday, March 26, 2010

Bebel : Rosman Agak Crack Hari Ini, Maaf

Pon Pon!




Tatkala jari jemari ini kemas menekan-nekan punat di papan kekunci Logitech ini, sang mentari di luar sudah menjelma. Aku kira ayam-ayam juga sudah letih menjerit. Mungkin sambung tidur barangkali. Yang rajin itu ada yang pergi keluar mencari cacing dan hidupan-hidupan seumpama. Oh, ada bunyi lain, melodi indah bunyian hon-hon kereta mini, sedan dan SUV mewah di luar. Aku orang kota, memang semua bunyi itu aku dengar saban pagi aku tak tipu.

Eh ada juga bunyi carutan dalam dialek Kantonis. Ada orang parking secara double tanpa menarik brek tangan kereta beliau. Kereta first class, minda 2nd atau 3rd pon aku tak pasti.

Seperti babak pagi dalam mana-mana filem atau drama yang kau pernah tonton, pagi boleh kita kata sebagai permulaan kepada segala benda yang chantek mahupun sial.

Mungkin kau sendiri pergi masuk pejabat dengan muka masam mencuka, otak hanya fikir bantal empuk, atau ladang digital dalam Facebook. Kemudian hari menjadi lebih sial dengan timbunan kerja dan caci-maki orang yang sama mengambil kau bekerja dulu. Petang hari kau balik dengan harapan semua kesialan itu akan menghilang jauh dari pandangan tanpa kau sedari tayar kau sudah pancit di tengah jalan sesak depan Ampang Park. Telefon bimbit pula sudah kering kandungan baterinya. Kalau ada sekalipun, kau bukan ada lagi kredit. Kau kedekut, tak mahu memberi komitmen untuk menukar kepada pelan pascabayar. Kau nampak Mercedes S Class bos yang maki kau pagi tadi hanya berlalu di tengah jalan tanpa berhenti bertanya khabar kecelakaan kau. Mungkin beliau sibuk memerhati jalan untuk ke restoran mewah bersama isteri ketiga beliau, siapa tahu. Kau tendang tayar kau yang memang sudah pancit itu. Kemudian kau tarik rambut sendiri tanda tensi dengan kebodohan sendiri. Kau mengerang. Bukan mengerang kesakitan, namun mengerang dengan apa kejadahnya teruk benar hidup kau. Dosa apa kau dalam hidup ini, kau fikir.

Aku ingin sambung situasi sial ini namun untuk apa aku beri sedikit gambaran untuk kau hari ini. Mungkin realitinya hidup kau lebih pathetic daripada itu. Kalau tidak, aku gembira bagi pihak. Mungkin lebih baik kau kongsi kegembiraan itu bersama yang tersayang. Dengan aku juga tak mengapa, aku tak kisah. Mungkin sebuah makan malam di kompleks membeli-belah terkemuka itu suatu hadiah istimewa untuk aku. Terima kasih jika kau sudi.

Kau mungkin tertanya mengapa aku sebegini pelik pagi ni. Aku tak merasa aku pelik. Mungkin ini salah satu sisi dalam diri aku. Aku berupaya mengeluarkan patah-patah perkataan secara spontan tanpa menghiraukan isi dalam nya. Orang Barat memanggilnya sebagai substance. Mungkin juga ada wujud substance dalam entri kali ini cuma kewujudannya tidak terasa lantaran gaya penulisan yang lebih bersifat bobrok dan what the ef.

Aku kira tak perlu untuk aku publish entri ini sebenarnya namun untuk apa aku bebel meletihkan jari-jari jantanku untuk sebuah dialog Windows yang bertanyakan apakah benar aku tidak mahu simpan penulisan bodoh ini? Lantas aku kira dengan menekan butang 'publish' seantero dunia boleh melihat betapa sewelnya aku pagi ini. Bukan sewel seperti Aisah 50 Sen namun cukup sewel bagi mereka yang biasa melihat aku dalam konteks yang berbeda.

Selamat datang ke dunia cacamerbaku.

Kau tak perlu baca sampai habis sebenarnya. Oh, kau sudah pun membacanya sampai habis. Maaf. Aku patut tulis itu lebih awal ;)


http://rosmanpositivo.blogspot.com/

2 comments:

Joseph said...

satu penulisan bernas.. apa yang dialami mungkin berbeza.. akan tetapi apa yang akau sedanga alami sememangnya lebih pathetic dari anda.. bersyukurlah ye.. hehehe

jackAlist said...

. . .wow. . .
i baca pun pening jap. . !


http://jackalist.blogspot.com/